
Di samping itu, pantun juga turut
mempunyai kedudukan yang istimewa dalam pertumbuhan serta perkembangan
puisi Melayu lama. Pantun sebagai jenis puisi Melayu lama yang tertua
dan asli amat diminati. Ini terbukti, pantun digunakan secara meluas
dalam kegiatan-kegiatan hidup harian dan seni budaya masyarakat Melayu
lama, seperti dalam acara permainan, hiburan, majlis keramaian, adat
istiadat atau upacara. Justeru itu, pantun pantun dari segi isi atau
temanya terdapat beberapa jenis. Antaranya yang penting tentang teka-teki, jenaka, kasih sayang, nasihat, budi, nasib, perantau, adat, kepahlawanan, peribahasa, kias ibarat dan agama.
Meskipun begitu, penentuan jenis-jenis isi atau tema tersebut bukanlah
mutlak. Ini kerana dalam setiap jenis isi pantun itu, lazimnya terdapat
juga isi atau persoalan lain. Penentuannya lebih dilihat pada isi yang
menjadi latar dan dasar perkembangannya dengan isi atau persoalan lain
yang berhubungan.
Pantun yang isinya mengemukakan tentang "nasihat", "adat" dan "agama" pada umumnya adalah mudah dikenali serta difahami. Pantun "nasihat"
misalnya, lebih jelas bersifat mengajar atau memberi nasihat ke arah
melakukan sesuatu yang baik dan meninggalkan yang buruk.Walaupun
demikian, isi tentang "adat" dan "agama"
tidak kurang pula yang lebih serius serta mendalam persoalan isinya.
Umapamanya, persoalan adat yang berkaitan dengan norma-norma adat,
peraturan atau undang-undang dan persoalan agama yang berkaitan dengan
Keesaan Allah dan balasan hari kemudian.
Pantun jenis "peribahasa" juga mudah
dikenali, iaitu melalui penyampaian isinya menggunakan
peribahasa-peribahasa yang begitu jelas bentuk serta susunannya. Bagi
pantun "kias dan ibarat" pula, sesuai
dengan namanya maka setiap isi yang disampaikan atau dikemukakan itu
adalah bersifat kiasan, ibarat atau perbandingan. Dengan demikian,
pernyataan isinya selalu ditemui dalam bentuk peribahasa; tetapi
gambaran pernyataannya lebih halus, luas dan mendalam.
Pada pantun "teka-teki" yang memerlukan
jawapan adalah merupakan satu daripada alat untuk menggerakkan cara
berfikir secara spontan dam membina kemahiran berfikir dengan tepat.
Pantun "jenaka"
yang unsur kejenakaan atau kelucuannya terhasil daripada gambaran
keanehan dan keganjilan perlakuan itu, terdapat unsur-unsur pengajaran,
nasihat dan sindirannya di dalamnya.
Jenis Pantun : Dua Kerat
Buah beluluk buah kepayang,
Dimakan mabuk dibuang sayang.
Jenis Pantun : Empat Kerat - Teka-teki
Fungsi : Untuk berseronok dan menduga
kebolehan dalam berfikir
Kelip-kelip disangka api,
Kalau api di mana puntungnya;
Hilang ghaib disangka mati,
Kalau mati di mana kuburnya?
Jenis Pantun : Empat Kerat - Jenaka
Fungsi : Semata-mata untuk hiburan
Orang Rengat menanam betik,
Betik disiram air berlinang;
Hilang semangat penghulu itik,
Melihat ayam lumba berenang
Jenis Pantun : Empat Kerat - Kasih Sayang
Burung merbuk membuat sarang,
Anak enggang meniti di paya;
Tembaga buruk di mata orang,
Intan berkarang di hati saya.
Jenis Pantun : Empat Kerat - Nasihat
Air melurut ke tepian mandi,
Kembang berseri bunga senduduk;
Elok diturut resmi padi,
Semakin berisi semakin tunduk.
Jenis Pantun : Empat Kerat - Budi
Tingkap papan kayu bersegi,
Sampan sakat di Pulau Angsa;
Indah tampan kerana budi,
Tinggi darjat kerana bahasa.
Jenis Pantun : Empat Kerat - Nasib
Payang retak tali bersimpul,
Kendi lokan airnya tumpah;
Hidup tidak kerana kaul,
Mati bukan kerana sumpah.
Jenis Pantun : Empat Kerat - Perantau
Pungut teritip di tiang batu,
Batu pecah dilanda karang;
Beginilah nasib dagang piatu,
Kain basah kering di pinggang.
Jenis Pantun : Empat Kerat - Adat
Buah berangan di rumpun pinang,
Limau kasturi berdaun muda;
Kalau berkenan masuklah meminang,
Tanda diri beradat budaya.
Jenis Pantun : Empat Kerat - Kepahlawanan
Patah rotan tali bersilang,
Batang meranti rimbun berjejal;
Langkah pahlawan di tengah gelanggang,
Berpantang mati sebelum ajal.
Jenis Pantun : Empat Kerat - Peribahasa
Punggur rebah puyuh mendengut,
Dengut melata di tengah padang;
Sedangkan bah kapal tak hanyut,
Inikan pula kemarau panjang.
Jenis Pantun : Empat Kerat - Kias dan Ibarat
Gesek biola tiup serunai,
Sayu dara berhati walang;
Putih mata si burung punai,
Kayu ara ditunggu helang.
Jenis Pantun : Empat Kerat - Agama
Letak bunga di atas dulang,
Sisipkan daun hiasan tepinya;
Banyak berdoa selepas sembahyang,
Mohon diampun dosa di dunia.
Jenis Pantun : Empat Kerat - Kanak-kanak
Fungsi : Lagu sedih dan bersuka-ria
Anak rusa nani,
Baru kembang ekor;
Apa dosa kami,
Lalu tidak tegur.
Bentuk dan Jenis-jenis Pantun
Diposting oleh
Unknown
|
Langganan:
Posting Komentar (Atom)







0 komentar:
Posting Komentar